Wednesday 16 December 2015

PT3: KEPUTUSAN LEBIH BAIK BERBANDING TAHUN LALU




Sebanyak 465,674 calon Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) di seluruh negara mendapat keputusan masing-masing hari ini.

Kebanyakan sekolah merekodkan Gred Purata Sekolah (GPS) lebih baik berbanding keputusan tahun pertama pelaksanaannya pada 2014.

Di TERENGGANU, seramai 46 daripada 62 calon PT3 Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut berjaya memperoleh 11A sekali gus menobatkan sekolah itu antara yang terbaik di negeri itu pada tahun ini.

Di KELANTAN, 98 daripada 198 calon PT3 SMKA Naim Lil-Banat, Kota Bahru mendapat 11A berban­ding 14 pelajar pada tahun lepas, membuktikan keberkesanan program intervensi anjuran sekolah itu.

Di PERLIS, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma, Kangar, Aslina Yob berkata, sekolahnya mencatatkan peningkatan GPS 1.50 berbanding tahun lepas 1.80 iaitu daripada 156 calon PT3, 15 daripada mereka memperoleh A dalam mata pelajaran yang diduduki manakala 19 orang mendapat 9A.

Di PERAK, Pengetua Sekolah Raja Perempuan Taayah, Ipoh, Noor Aini Zainal Abidin membe­ritahu, keputusan PT3 yang dica­tatkan sekolah itu meningkat lebih 50 peratus berbanding tahun lalu dan apa yang paling ketara ialah pe­ningkatan jumlah pelajar yang memperoleh keputusan 6A ke atas.

Di NEGERI SEMBILAN, Penge­tua SMK King George V, Mohd. Md. Isa memberitahu, seramai 222 calon mengambil peperiksaan PT3 tahun ini berbanding 198 calon tahun lalu.
Katanya, Gred Purata Sekolah (GPS) menurun kepada 1.84 berbanding 1.77 tahun lalu dengan jumlah pelajar yang memperoleh semua A meningkat kepada enam orang berbanding tiga orang tahun lalu.


Di MELAKA, SMK Ayer Molek mencatatkan peningkatan keputusan PT3 bagi tahun ini dengan 37 daripada keseluruhan 317 calon yang menduduki peperiksaan tersebut mendapat keputusan 5A ke atas.

IBU BAPA MULA MEMAHAMI PELAKSANAAN PT3



"Hasil sulung pelaksanaan ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun ini menyaksikan keputusan yang ‘mengejutkan’ dengan beberapa sekolah di luar bandar mencatatkan keputusan semua A dalam semua mata pelajaran.
Pada masa sama, kebanyakan sekolah ternama pula mencatatkan kemerosotan mendadak jumlah pelajar yang mencatat keputusan semua A dalam mata pelajaran yang diambil di negara ini."
-Keratan Berita Utusan (22 Disember 2014)


Para ibu bapa sudah mula memahami dan me­nerima baik pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) sejak pe­periksaan berkenaan diperkenalkan pada tahun lalu. Terdapat peningkatan berbanding keputusan tahun lalu dalam pencapaian keseluruhan PT3 yang diumumkan.

Pelaksanaan PT3 tidak menggunakan sistem berpusat kerana analisis dan penilaiannya dilakukan di peringkat sekolah.
Hal ini kerana pelaksanaan PT3 berbeza daripada peperiksaan lain kerana tahap perkembangan para pelajar diukur berdasarkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang meliputi aspek akademik, kokurikulum dan disiplin pelajar.


Beberapa negara maju telah melaksanakan sistem pe­periksaan berdasarkan PBS bermula di peringkat prasekolah dan pendidikan rendah bagi membentuk kecemerlangan para pelajar berdasarkan bakat tersendiri. Kerajaan melaksanakan PT3 bagi menjadikan para pelajar berdaya saing dan berkualiti.


Friday 11 December 2015

GURU TERSENTUH DENGAN DAKWAAN TAK FAHAM PELAKSANAAN PBS





-Keratan Akhbar Berita Harian, 30 Oktober 2015

PBS masih lagi tidak mencapai tujuan sebenar pelaksanaannya. Berikutan artikel di atas, terdapat pelbagai masalah yang masih tidak dapat diselesaikan oleh pihak atasan berkenaan dengan PBS.


Pelaksanaan PBS ini sebenarnya haruslah difahami oleh orang atasan iaitu kementerian dan lembaga peperiksaan terlebih dahulu. Apabila kefahaman ini dijelaskan dengan baik kepada guru-guru maka isu seperti ini pasti dapat dielakkan. Sebagai contoh guru hanya menjalankan arahan seperti mana yang dikuatkuasakan oleh pihak atasan, tetapi apabila arahan yang diberikan itu kurang jelas dan bercanggah maka pelaksanaan PBS akan menjadi kucar-kacir dan terjadilah situasi menuding jari ke arah satu sama lain. Masalahnya, jika hal yang demikian terjadi, siapakah yang harus dipersalahkan?

Kegagalan pelajar dengan mendapat Band 1 (band terendah) membuktikan sistem pelaksanaan PBS masih di tahap yang kurang memuaskan. Isu-isu seperti ini sedikit sebanyak akan menyebabkan kepercayaan ibu bapa terhadap sistem pendidikan semakin berkurangan.

Tuesday 1 December 2015

PELAJAR PERLU KUASAI PELBAGAI BAHASA


-Keratan akhbar Berita Harian, 30 Oktober 2015

Pelajar sekolah dinasihatkan supaya menguasai pelbagai bahasa terutama bahasa Inggeris bagi mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih cerah pada masa depan.

Pelajar kini perlu menguasai bahasa-bahasa yang dituturkan oleh bangsa yang maju di dunia bagi membolehkan mereka menguasai ilmu melalui pembacaan daripada buku-buku yang ditulis menggunakan bahasa bangsa berkenaan mahupun melalui pertuturan dengan mereka.

Adalah tidak memadai sekiranya pelajar hanya mampu menguasai bahasa Inggeris di samping bahasa ibunda masing-masing kerana dengan kemajuan dunia, pelajar perlu menguasai pelbagai bahasa seperti bahasa Cina, Arab, Tamil, Rusia, Jepun dan Korea. Ilmu agama boleh kita perdalami sekiranya kita menguasai bahasa Arab manakala ilmu mengenai teknologi moden masa kini turut terdapat dalam buku-buku yang ditulis melalui bahasa Jepun dan Korea.

Di samping itu, generasi masa kini perlu didedahkan cara menguasai cabaran semasa yang berlaku di sekeliling mereka. 

Sunday 29 November 2015

PEMARTABATAN BAHASA MELAYU 
PERKUKUH PEMBINAAN NEGARA BANGSA



Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi bagi negara ini amat jelas, justeru apabila dua status itu dimiliki maka bahasa Melayu berada dalam kedudukan cukup tinggi iaitu sebagai bahasa negara.
Istilah bahasa rasmi bererti bahasa Melayu wajib digunakan dalam sistem kenegaraan dan sebagai bahasa utama termasuk wajib digunakan dalam sistem pendidikan, perundangan, komunikasi rasmi, naskhah yang sah adalah wajib dalam bahasa Melayu dan sebagainya.

Kesimpulannya, usaha berterusan memartabatkan bahasa Melayu bukan sahaja penting malahan amat kritikal dalam menyuburkan jati diri warganegara yang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Sebagai contoh, penulis berpandangan, jika perkara ini difahami maka tidak timbul lagi soal segelintir pihak mempertikaikan langkah kerajaan tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk kemasukkan ke universiti awam memandangkan bahasa Melayu dalam sijil itu tidak setara dengan kehendak kerajaan.
Ini mustahak kerana meletakkan bahasa Melayu di tempat tinggi selayaknya adalah usaha ke arah untuk mencapai peranan bahasa itu yang bukan sahaja sebagai alat berkomunikasi tetapi ia adalah alat pemangkin kemajuan, perpaduan kaum, identiti nasional dan pembentukan negara.

Friday 27 November 2015

PENGUASAAN DWIBAHASA BERI IMPAK POSITIF


-Keratan akhbar Berita Harian, 30 Oktober 2015

Bagi entri blog sebelum ini ada membincangkan mengenai cadangan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menolak pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) dan Program Imersif Tinggi (HIP).

Berbeza pula dengan pendapat bagi pemimpin mahasiswa universiti awam (UA) yang menyokong dan yakin bahawa dengan pelaksanaan program seperti ini mampu meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

Melalui pelaksanaan program seperti ini, ia bakal memberikan impak yang positif kepada pendidikan negara memandangkan bahasa Inggeris merupakan bahasa ilmu dan juga bahasa antarabangsa. Tambahan pula, bagi subjek Matematik dan Sains banyak menggunakan istilah dalam bahasa Inggeris dan ini akan membantu pelajar untuk memahami istilah tersebut jika dibuat dalam dwibahasa.

Inisiatif DLP dan HIP akan dilaksanakan menerusi Gelombang 2 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, dengan DLP dilaksanakan untuk sekolah yang memenuhi kriteria ditetapkan bermula tahun depan.

Kerajaan perlulah konsisten serta serius dalam melaksanakan program tersebut dan bukan berubah-ubah sehingga memberi kesan kepada pelajar.

Wednesday 25 November 2015

KERAJAAN HARUS AMBIL IKTIBAR KESAN DARIPADA PELAKSANAAN PPSMI

Pelaksanaan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah dilaksanakan pada 2003 telah mengakibatkan banyak kesan negatif dalam pembelajaran dan pengajaran. Justeru itu, pihak kerajaan terutamanya kementerian haruslah mengambil iktibar hasil daripada kejatuhan prestasi sekolah akibat daripada pelaksanaan dasar itu.

Pelaksanaan dasar baru iaitu Program Imersif Tinggi (HIP) dan Program Dwibahasa (DLP) merupakan tindakan kerajaan yang mahu mengulangi kelemahan PPSMI yang diumumkan dalam Bajet 2016. Pelaksanaan PPSMI telah banyak menimbulkan kerugian kepada murid-murid terutamanya dalam mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.

Justeru, cadangan asal dalam melaksanakan dasar DLP dan HIP perlulah difikirkan dan disemak semula. Pelaksanaan ini mungkin akan terjadinya sejarah PPSMI yang merugikan banyak pihak.


- Keratan akhbar Berita Harian, 30 Oktober 2015


PELAKSANAAN DLP, HIP BERCANGGAH DENGAN PERLEMBAGAAN

-Keratan akhbar Berita Harian, 30 Oktober 2015


Pelaksanaan inisiatif Program Dwibahasa (DLP) dan Program Imersif Tinggi (HIP) merupakan cadangan awal kepada menggunakan dwibahasa dalam pembelajaran dan pengajaran dan akan dilaksanakan selepas MBMMBI. HIP merupakan program meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris melalui penggunaan dan penguasaan bahasa tersebut manakala DLP pula adalah program pengukuhan bahasa Inggeris yang menawarkan pengajaran dan pembelajaran untuk beberapa subjek yang boleh diajar menggunakan sama ada bahasa Melayu atau Inggeris.

Berikutan cadangan tersebut mendapat bantahan daripada orang ramai, satu perbincangan meja bulat diadakan dan dihadiri oleh 15 badan bukan kerajaan (NGO). Hasil daripada perbincangan tersebut, kesemua NGO tersebut membantah pelaksanaan DLP dan HIP. Hal ini kerana pelaksanaannya adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan hanya mempunyai kepentingan ekonomi semata-mata.


Pelaksanaan DLP dan HIP pasti akan menggugat penggunaan bahasa Melayu sebagi bahasa Kebangsaan dan ini tidak akan membantu dalam membina jati diri masyarakat negara ini.

Monday 23 November 2015

BULI: GEJALA SAMSENG MEMBARAH




Gejala buli dalam kalangan remaja semakin merisaukan banyak pihak terutama ibu bapa dan guru. Pelbagai isu mengenai kebejatan sosial remaja termasuk gejala buli dibahaskan dalam media massa disebabkan kejadian buli yang membahayakan keselamatan pelajar sekolah khususnya sekolah berasrama.

Tidak cukup dengan wacana sahaja, masyarakat menantikan penyelesaian berkesan untuk gejala buli yang tiada petanda reda dalam kalangan remaja bermasalah di sekolah. Hari ini sekolah seolah-olah menjadi pusat menghasilkan virus schoolafobia kerana pelajar baru takut tinggal di asrama.
Institusi sekolah terutama sekolah berasrama sering menjadi medan sebilangan pelajar menunjukkan dominasi dan senioriti sehingga sanggup mencederakan pelajar lebih bawah daripada mereka. Aksi tendang terajang serta ala ahli gusti dipertontonkan untuk menunjukkan kekuatan dan pelajar baru menjadi mangsa.
Perbuatan salah laku itu menyebabkan kecederaan, koma, patah tulang sehingga ada yang meninggal dunia disebabkan perlakuan buli di asrama dan sekolah.

 Ironinya, kejadian buli juga turut dilaporkan membabitkan sekolah yang telah diberi gred berprestasi tinggi.
Lebih menyedihkan lagi, laporan kejadian buli turut berlaku dalam kalangan pelajar Melayu-Islam di sekolah aliran agama yang sepatutnya menjadi teladan kepada pelajar lain.

Kejayaan sistem pendidikan kita dinilai bukan sahaja oleh pencapaian akademik pelajar kita. Kejayaan sistem perlu juga dinilai berdasarkan mutu seseorang dari segi integriti dan disiplin mereka, perlakuan, kecerdasan, sikap mereka terhadap kerja, kemampuan mereka dalam kepimpinan dan rasa tanggungjawab serta komitmen mereka terhadap masyarakat.

Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kes-buli-semakin-serius-harus-dipandang-serius-semua-pihak-lee-lam-thye-51584
http://www.sinarharian.com.my/nasional/buli-pelajar-tindakan-tegas-jika-cikgu-cuai-1.452714
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kementerian-pendidikan-mahu-kes-buli-mencapai-sifar-peratus-1.161445
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sekolah-diarah-tingkat-penguatkuasaan-kes-buli-1.159625

Saturday 21 November 2015

JURANG PENCAPAIAN SEKOLAH BANDAR & LUAR BANDAR SEMAKIN KECIL



Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sekolah bandar mencatat GPN 2.21, kekal berbanding tahun lalu manakala sekolah luar bandar mencatat GPN 2.34, meningkat 0.04 berbanding 2.38 tahun lalu.


Mahdzir Khalid (tengah) bersama pelajar yang mendapat keputusan






Jurang pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) antara sekolah di kawasan bandar dan luar bandar pada tahun ini semakin mengecil dengan perbezaan Gred Purata Nasional (GPN) yang dicatatkan hanya 0.13 berbanding 0.16 tahun lalu.


“Ada peningkatan dari segi pencapaian di sekolah luar bandar, ini sangat baik sebab kita selalu melihat perbandingan antara sekolah di kawasan bandar dan luar bandar.

Mengulas mengenai pencapaian secara keseluruhan, Mahdzir berkata, tahun ini menunjukkan peningkatan dengan GPN yang dicatatkan 2.27 berbanding 2.29 tahun lalu.
Beliau berkata, semakin kecil nilai GPN, semakin baik pencapaian yang ditunjukkan.


“Secara keseluruhan saya berpuas hati dan kita berharap pihak kementerian, jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah, sekolah dan guru-guru dapat meningkatkan usaha sekali gus menambah baik pencapaian UPSR pada masa hadapan,” ujar­nya.


Thursday 12 November 2015

GRED PT3 2015 KPM YANG TERKINI

   

Kementerian Pendidikan Malaysia KPM berkongsi informasi dan sistem pemarkahan dan senarai gred PT3 2015 KPM yang terkini yang boleh dijadikan rujukan kalangan pelajar Tingkatan 3 tahun ini.


Untuk pengetahuan kalangan pelajar berdasarkan semakan bagi semua subjek jika anda mendapat semua gred E sekalipun tidak kira subjek dan matapelajaran Gred PT3 Matematik, Bahasa Inggeris, Sains, Kemahiran Hidup, Geografi, Sejarah, Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, anda masih dikirakan sebagai Menguasai oleh Kementerian Pendidikan malaysia KPM iaitu LULUS.

Tetapi jikalau anda mendapat markah gred F walaupun untuk 1 subjek sekalipun dalam gred PT3 2015 ini, anda akan diketagorikan sebagai GAGAL yang mana anda ditafsikan oleh KPM sebagai pelajar yang Tidak Mengusai Pentaksiran Tingkatan 3 kali ini.
Jadi buat sehabis baik, jangan kecewakan ibu bapa anda. Insyaallah. Kejayaan hanya untuk orang yang tidak putus berusaha.

Monday 26 October 2015

KEMENTERIAN TINGKAT PRESTASI PENDIDIKAN TINGGI



Menurut Menteri Pendidikan Ting­gi, Datuk Seri Idris Jusoh, rakyat Malaysia berhak mendapat pendidikan tinggi yang terbaik dan berkualiti sama seperti yang terdapat di negara maju. Melalui peruntukan bajet kerajaan yang besar kepada sektor pendidikan tinggi, sudah semestinya semua pihak ingin melihat pencapaian cemerlang yang sesuai dengan pelaburan itu.

Ini dibuktikan melalui keputusan terkini kedudukan atau ‘ranking’ institusi pendidikan tinggi (IPT) negara oleh badan penarafan antarabangsa.


Daripada kajian yang dikeluarkan oleh QS ASIA Top University Ranking, terdapat 4 buah universiti yang bertambah baik berbanding tahun 2014 iaitu Universiti Malaya meningkat ke tempat ke 29 daripada 32 tahun lepas, Universiti Sains Malaysia kepada 49 daripada 57.Universiti Teknologi Malaysia berada di kedudukan ke 61 dari kedudukan asal 66, Universiti Putra Malaysia (76-66), manakala Universiti Kebangsaan Malaysia kekal pada kedudukan ke 56.

Peningkatan pencapaian yang membanggakan itu menggambarkan pihak pengurusan IPT sentiasa berusaha bagi memastikan prestasi dan kualiti institusi mereka dapat bersaing dengan universiti terbaik yang lain. Nampaknya langkah kementerian menaik taraf beberapa universiti sebagai berstatus ‘universiti penyelidikan’ dan memberi kuasa autonomi yang lebih luas menjadi salah satu faktor atas kejayaan tersebut.


Saturday 24 October 2015

PERPADUAN MELALUI PENDIDIKAN

Sistem pendidikan yang dilaksanakan sehingga kini adalah sebagai salah satu usaha kerajaan untuk  merealisasikan aspirasi negara bagi mewujudkan dan meningkatkan perpaduan kaum dan integrasi nasional dalam kalangan masyarakat di negara ini. Pendidikan adalah tunjang kepada perpaduan negara, maka tidak dapat dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan negara.
Satu cara pendekatan penting untuk mewujudkan perpaduan dalam sesebuah negara ialah menerusi pendidikan. Dalam konteks Malaysia,  pendidikan adalah tonggak utama dalam membina perpaduan kaum dalam kalangan generasi muda. Berikut adalah cara bagaimana sistem pendidikan negara ini boleh membentuk perpaduan.
Kurikulum ialah satu rancangan pendidikan yang terkandung di dalamnya segala ilmu pengetahuan serta kemahiran, nilai-nilai dan norma, unsur-unsur kebudayaan dan kepercayaan yang telah menjadi pilihan masyarakat untuk diperturunkan kepada ahli-ahlinya. Peranan kurikulum dalam pendidikan adalah untuk membina perkembangan pelajar yang lengkap dari segi jasmani, rohani, akal dan emosi. Dalam konteks negara Malaysia, kurikulum juga berperanan untuk melahirkan rakyat yang mendokong cita-cita negara dalam mewujudkan perpaduan yang berpandukan prinsip-prinsip Rukun Negara, di samping menghasilkan modal insan yang terlatih untuk keperluan negara.
Kurikulum yang dibina bukan sahaja bertujuan untuk memberikan ilmu pengetahuan dan maklumat berbentuk akademik sahaja, bahkan memupuk semangat perpaduan. Ianya berorientasikan suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983.
Mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam sifat-sifat mulia seperti tolong-menolong, bekerjasama dan berfikiran optimis serta membentuk tingkah laku yang bersopan santun dan saling menghormati antara satu sama lain.
Setiap subjek yang diajar di sekolah juga harus menitikberatkan aspek-aspek pendidikan yang harmonis. Nilai-nilai rohani dan budaya bersama  diberikan keutamaan dalam setiap subjek. Maka, semangat perpaduan perlu merentasi kurikulum untuk membentuk dan menguatkan peribadi serta moral para pelajar.

Kesimpulan
Perpaduan kaum adalah elemen yang penting dan harus diberi perhatian kerana pemupukan hubungan etnik antara masyarakat adalah amat penting bagi kesejahteraan  negara. Hubungan kaum yang harmoni adalah kunci kepada keharmonian dan kestabilan negara. Bagi mencapai matlamat tersebut, negara memerlukan rakyat yang berpendidikan, berilmu dan semangat patriotisme yang tinggi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing dalam memacu negara ke arah mencapai Wawasan 2020.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN KELUAR PEKELILING HARAM VAPE DI SEKOLAH


Kementerian Pendidikan akan mengeluarkan pekeliling berhubung pengharaman vape di semua kawasan sekolah dan institusi pengajian di bawah kementerian dalam masa terdekat. 

PUTRAJAYA - Gambar seorang guru sekolah sedang menghisap rokok elektroinik atau vape di kelas tersebar di laman sosial sejak malam tadi.

"Macam mana dia boleh jadi pendidik ye? Memang orang yang dah #vapeOn ini terus #OtakOff ke macam mana?" kata Shazroul yang memuat naik gambar berkenaan di laman Facebook 15 jam yang lalu.

Seorang guru lelaki berkaca mata hitam dilihat sedang menghisap vape tatkala anak muridnya sedang menerangkan masalah kerja sekolah yang dihadapi.

Tindakan guru berkenaan yang menghisap vape di dalam kelas dikecam oleh netizen yang menganggap itu satu tindakan bodoh dari seorang guru. 

"Nak bervaping atau apa sekali pun, jangan ingat boleh hembus asap vape di mana-mana terutamanya di depan kanak-kanak. Sudahlah memakai cermin mata hitam, hisap vape lagi depan murid. Apa lagi yang tinggal untuk dijadikan sebagai contoh pada murid?" kata netizen. 

"Memalukan golongan pendidik! Sebagai seorang warga pendidik, jangan berikan contoh yang tidak baik kepada pelajar kerana mereka sangat mudah terpengaruh. Tetapi kalau dah begini perangai sesetengah guru, selepas ini jangan salahkan ibu bapa pelajar pula," kata Yahya.

Walaupun begitu, ada yang berpendapat bahawa gambar yang tersebar itu adalah gambar yang telah diedit bagi mencemarkan imej golongan penggemar rokok elektronik.



Sumber:http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kementerian-pendidikan-keluar-pekeliling-haram-vape-di-sekolah-1.172527


Thursday 22 October 2015

PENTAKSIRAN TINGKATAN 3 (PT3)



PT3 adalah satu daripada komponen di bawah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di mana murid ditaksir untuk menilai pencapaian akademik mereka di pe­ringkat menengah rendah iaitu di Tingkatan 3.
Soalan PT3 disediakan berasaskan sukatan pelajaran Tingkatan 1, 2 dan 3.
Tujuan pentaksiran adalah lebih meluas lagi, kita harus mewujudkan pentaksiran yang dapat merubah teknik pengajaran dan pembelajaran di sekolah bagi melahirkan modal insan yang berketerampilan dan lebih yakin dengan potensi diri.
Perubahan ini perlu bagi menjayakan program transformasi pendidikan dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Melalui PT3, pihak sekolah akan menyediakan jadual pentadbiran, menguruskan pentadbiran pentaksiran, memeriksa skrip jawapan murid berpandukan panduan penskoran yang disediakan Lembaga Peperiksaan dan mencetak pelaporan PT3.

Apakah perbezaan antara PT3 dan PMR?
PT3 yang dilaksanakan adalah satu komponen pentaksiran berasaskan sekolah, manakala PMR adalah peperiksaan berpusat yang dijalankan serentak di semua sekolah di seluruh negara.
PMR dikendalikan sepenuhnya oleh Lembaga Peperiksaan dari segi penyediaan kertas soalan, pentadbiran peperiksaan, pemeriksaan skrip jawapan dan pengeluaran keputusan.
Bagi PT3 Lembaga Peperiksaan menyediakan instrumen pentaksiran (soalan), pan­duan penskoran dan menetapkan tempoh pelaksanaan tetapi pentadbiran, pemeriksaan skrip jawapan dan pengeluaran keputusan dilakukan oleh pentadbiran sekolah.

Sumber: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20140629/pe_01/PT3-bukan-sekadar-peperiksaan

Wednesday 21 October 2015

KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH (KSSR)






KSSR diperkenalkan sebagai satu usaha menyusun semula dan menambah baik kurikulum sedia ada untuk memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan untuk memenuhi keperluan semasa serta menghadapi cabaran abad ke-21.



KSSR digubal dalam bentuk pernyataan standard. Pernyataan standard terdiri daripada standard kandungan dan standard pembelajaran yang  perlu dicapai oleh murid dalam suatu tempoh dan tahap persekolahan. Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran didefinisikan seperti berikut: 

- Standard kandungan ialah penyataan spesifik tentang perkara yang murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai.

- Standard Pembelajaran ialah satu penetapan kriteria atau petunjuk (indicator) kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan.


Konsep KSSR mengandungi tunjang keterampilan diri yang memastikan murid dididik dan dibimbing supaya memiliki daya kepimpinan dan sahsiah diri yang tinggi melalui kurikulum dan aktiviti kokurikulum.

Berikut merupakan perbezaan sistem kurikulum KBSR dan KSSR:




Monday 19 October 2015

APA ITU PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH?





PBS dilaksanakan mulai Tahun 1 pada 2011 dan penambahbaikan UPSR pada 2016, mulai Tingkatan 1 pada 2012 dan penambahbaikan PMR pada 2014.

PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai dari aspek: 
i) kognitif (intelek)
ii) afektif (emosi dan rohani) 
ii) psikomotor (jasmani) 

PBS juga diwujudkan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

PBS mentaksir bidang akademik dan bukan akademik.




PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah secara terancang mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan.

PBS dikendalikan oleh pihak sekolah dan pentaksirannya dilaksanakan oleh guru-guru mata pelajaran secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.


Sumber: http://www.moe.gov.my/v/soalan-lazim-view?id=146&cat=30&keyword=&page=1&

Sunday 18 October 2015

APA ITU PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA (PPPM)?


Video Multimedia Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi)


Source: Kementerian Pendidikan Malaysia

Agihan adil semua sekolah: Peruntukan bagi perbelanjaan pengurusan, pembangunan dan penyelenggaraan


KAPIT, 16 Okt. - Kerajaan sentiasa berusaha untuk berlaku adil dalam menyalurkan peruntukan bagi perbelanjaan pengurusan, pembangunan serta penyelenggaraan kepada semua jenis sekolah termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagi tujuan tersebut, 25 jenis bantuan persekolahan kepada murid telah disalurkan meliputi Bantuan Geran Perkapita (PCG), Bantuan Kokurikulum, Bantuan Sukan Sekolah, Bantuan Makanan dan Yuran Khas Sekolah serta lain-lain dengan peruntukan melebihi RM3.7 juta setiap tahun
Beliau berkata, Sarawak merupakan antara negeri yang sentiasa mendapat peruntukan pembangunan tinggi pada setiap tahun di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).
“Pada 2014, sebanyak 22 projek merangkumi pembinaan baharu, gantian penuh dan ubah suai naik taraf bangunan sekolah telah diluluskan oleh Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.
“Di bawah RMK-10 sehingga kini, sebanyak 650 projek pembangunan fizikal institusi pelajaran di Sarawak telah disiapkan, manakala 83 projek pula sedang dalam pembinaan.
“Bagi 2015, peruntukan pembangunan (DE) bagi tahun tersebut khususnya bagi Sarawak ialah berjumlah RM235.2 juta,” katanya berucap merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakun di Sungai Asap, Belaga di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Masir Kujat.
Tdak ketinggalan Menteri Kemajuan Tanah negeri yang mewakili Ketua Menteri, Tan Sri Dr. James Jemut Masing; Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Dr. Zulkifeli Mohd. Zin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Liwan Lagang
SMK Bakun yang mempunyai 87 kakitangan akademik dan 1,217 pelajar dari tingkatan satu hingga lima merupakan sekolah menengah asrama serta harian.
Sekolah menengah kedua yang dibina di daerah Belaga pada 2002 itu menerima para pelajar dari kampung-kampung berdekatan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Kementerian Pendidikan bukan sahaja prihatin dari segi peruntukan kewangan, malah sentiasa memberi perhatian khusus kepada pendidikan di sekolah luar bandar dan pedalaman melalui Pelan Transformasi Pendidikan Sekolah Pedalaman Sabah dan Sarawak yang dilancarkan pada 2013.
“Pelan terbabit merupakan satu strategi untuk merapatkan jurang pendidikan dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik, budaya dan sosio-ekonomi khusus bagi dua negeri ini.
“Bagi 2014, transisi pelajar Iban, Kayan dan Kenyah ke tingkatan satu mencatatkan kadar tinggi iaitu antara 91 hingga 100 peratus, manakala bagi kumpulan etnik seperti Kelabit, Melanau, Murut dan bumiputera lain di Sarawak adalah 81 hingga 89 peratus,” jelasnya.
Beliau berkata, perubahan transisi ini menunjukkan kerajaan sentiasa menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada semua pelajar tanpa mengira lokasi dan latar belakang selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Dalam pada itu, beliau bersetuju meluluskan enam daripada sembilan permohonan yang diminta oleh Liwan bagi SMK Bakun dan keperluan penduduk daerah Belaga.
Antara diluluskan ialah pembinaan 20 kuarters perumahan guru, trek padang, gelanggang serba guna, menyediakan kemudahan makmal sains dan sumbangan RM90,000 bagi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menjalankan aktiviti, manakala Panglima ATM menyumbangkan RM10,000 bagi persatuan ber­kenaan.

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/agihan-adil-semua-sekolah-1.147432

Perpaduan: Perlu lihat semula sistem pendidikan - Zahid Hamidi


TEMU bual bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. 



Sumber : http://www.bharian.com.my/node/71567

Lantik guru berkelayakan, lulus ujian

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Kementerian Pendidikan diminta mempertingkatkan aspek pelaksanaan program Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah dan Rakan Peningkatan Sekolah khususnya dari segi lantikan guru.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, pihaknya bimbang pelaksanaan dua program berkenaan menjadi kurang berkesan sekiranya guru-guru yang dilantik tidak mempunyai kepakaran dan kemahiran yang diperlukan.
Menurut beliau, lantikan sewajarnya dibuat dengan mengambil kira kelayakan calon berdasarkan dua aspek tersebut tanpa dipengaruhi oleh sentimen 'pilih kasih'.
"NUTP menerima maklumat ada guru yang tidak lulus ujian Aptis tetapi dilantik menjadi pembimbing pakar bagi mata pelajaran bahasa Inggeris.
"Sepatutnya kalau guru yang dipilih tidak lulus ujian tersebut, jangan ambil beliau sebagai pembimbing pakar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Hashim mengulas tentang peruntukan sebanyak RM250 juta yang disediakan oleh kerajaan untuk menjayakan dua program berkenaan dalam Bajet 2015 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat, kelmarin.
Ujian Aptis dikendalikan oleh British Council bagi membantu organisasi dan institusi mengenal pasti kakitangan atau pelajar yang memiliki tahap penguasaan bahasa Inggeris yang diperlukan.
Beliau menambah, situasi serupa didakwa berlaku dalam pelaksanaan program Rakan Peningkatan Sekolah yang mana guru yang dilantik tidak mempunyai pengalaman mentadbir sekolah.
"Sebaik-baiknya, lantikan dibuat dalam kalangan guru besar atau pengetua yang mempunyai pengalaman dari segi pentadbiran sekolah antara lima hingga 10 tahun," katanya.

Sektor ICT memainkan peranan yang penting dalam pendidikan

Sektor Informasi Komunikasi Dan Teknologi, ICT memainkan peranan yang penting dalam sektor pendidikan Malaysia. Menurut Pengerusi Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia, Pikom, Cheah Kok Hoong, berdasarkan trend di Amerika, 45 peratus pekerjaan memberi tumpuan kepada pembangunan perisian dan pemprograman komputer.


Video: http://www.astroawani.com/video-bisnes/sektor-ict-memainkan-peranan-yang-penting-dalam-pendidikan-69337

Terap elemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam pengajaran


Dr. Ismail Zain memberi penerangan terperinci berkaitan aplikasi kemahiran berfikir aras tnggi dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam seminar anjuran UMW di SJKT Sungai Renggam, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Guru Bahasa Malaysia Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Renggam, V, Kavitha berkata, seminar itu membolehkannya memahami dan mula menguasai cara menerapkan elemen KBAT dalam proses PdP.
“Sebelum ini, saya ragu dan kurang yakin dalam melaksanakan KBAT namun kini semakin jelas dan yakin untuk menerapkan elemen KBAT ketika mengajar di dalam bilik darjah.
“Saya bertuah dapat menyertai seminar ini kerana mengetahui banyak perkara baharu berkaitan pelaksanaan KBAT dalam proses pe­ngajaran,” katanya ke­­tika ditemui selepas ta­mat seminar itu di SJKT Sungai Renggam, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Kavitha antara 50 guru sekolah tersebut yang menyertai seminar kendalian Mantan Pensyarah Cemerlang JUSA B, Dr. Ismail Zain yang kini merupakan Penasihat Unit Pendidikan Utusan Malaysia.
Unit Pendidikan Utusan Malaysia, sejak tahun lalu, dilantik sebagai penasihat kandungan program dan aktiviti itu yang merupakan sebahagian daripada Program Pintar UMW.
Dalam seminar ini, guru diberi latihan secara hands on berbentuk bengkel tentang strategi PdP berasaskan KBAT, mengaplikasikan alat berfikir yang sesuai untuk meng­analisis sesuatu isu dan permasalahan hingga peringkat mereka cipta penyelesaian.
Sementara itu, seorang lagi peserta, S. Thenmalar dengan bersemangat memberitahu, seminar ini menjelaskan bagaimana guru boleh mempelbagaikan elemen KBAT dalam PdP dan tidak hanya fokus terhadap sesuatu aspek sahaja.
“Bukan itu saja, guru juga boleh menggunakan pelbagai aplikasi sebagai alat bantu mengajar,” katanya sambil memuji cara penyampaian Dr. Ismail yang mudah difahami peserta.

Sumber: http://www.utusan.com.my/pendidikan/terap-elemen-kbat-dalam-pengajaran-1.148026