Sunday 18 October 2015

Lantik guru berkelayakan, lulus ujian

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Kementerian Pendidikan diminta mempertingkatkan aspek pelaksanaan program Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah dan Rakan Peningkatan Sekolah khususnya dari segi lantikan guru.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, pihaknya bimbang pelaksanaan dua program berkenaan menjadi kurang berkesan sekiranya guru-guru yang dilantik tidak mempunyai kepakaran dan kemahiran yang diperlukan.
Menurut beliau, lantikan sewajarnya dibuat dengan mengambil kira kelayakan calon berdasarkan dua aspek tersebut tanpa dipengaruhi oleh sentimen 'pilih kasih'.
"NUTP menerima maklumat ada guru yang tidak lulus ujian Aptis tetapi dilantik menjadi pembimbing pakar bagi mata pelajaran bahasa Inggeris.
"Sepatutnya kalau guru yang dipilih tidak lulus ujian tersebut, jangan ambil beliau sebagai pembimbing pakar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Hashim mengulas tentang peruntukan sebanyak RM250 juta yang disediakan oleh kerajaan untuk menjayakan dua program berkenaan dalam Bajet 2015 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat, kelmarin.
Ujian Aptis dikendalikan oleh British Council bagi membantu organisasi dan institusi mengenal pasti kakitangan atau pelajar yang memiliki tahap penguasaan bahasa Inggeris yang diperlukan.
Beliau menambah, situasi serupa didakwa berlaku dalam pelaksanaan program Rakan Peningkatan Sekolah yang mana guru yang dilantik tidak mempunyai pengalaman mentadbir sekolah.
"Sebaik-baiknya, lantikan dibuat dalam kalangan guru besar atau pengetua yang mempunyai pengalaman dari segi pentadbiran sekolah antara lima hingga 10 tahun," katanya.

No comments:

Post a Comment