Saturday, 24 October 2015

PERPADUAN MELALUI PENDIDIKAN

Sistem pendidikan yang dilaksanakan sehingga kini adalah sebagai salah satu usaha kerajaan untuk  merealisasikan aspirasi negara bagi mewujudkan dan meningkatkan perpaduan kaum dan integrasi nasional dalam kalangan masyarakat di negara ini. Pendidikan adalah tunjang kepada perpaduan negara, maka tidak dapat dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan negara.
Satu cara pendekatan penting untuk mewujudkan perpaduan dalam sesebuah negara ialah menerusi pendidikan. Dalam konteks Malaysia,  pendidikan adalah tonggak utama dalam membina perpaduan kaum dalam kalangan generasi muda. Berikut adalah cara bagaimana sistem pendidikan negara ini boleh membentuk perpaduan.
Kurikulum ialah satu rancangan pendidikan yang terkandung di dalamnya segala ilmu pengetahuan serta kemahiran, nilai-nilai dan norma, unsur-unsur kebudayaan dan kepercayaan yang telah menjadi pilihan masyarakat untuk diperturunkan kepada ahli-ahlinya. Peranan kurikulum dalam pendidikan adalah untuk membina perkembangan pelajar yang lengkap dari segi jasmani, rohani, akal dan emosi. Dalam konteks negara Malaysia, kurikulum juga berperanan untuk melahirkan rakyat yang mendokong cita-cita negara dalam mewujudkan perpaduan yang berpandukan prinsip-prinsip Rukun Negara, di samping menghasilkan modal insan yang terlatih untuk keperluan negara.
Kurikulum yang dibina bukan sahaja bertujuan untuk memberikan ilmu pengetahuan dan maklumat berbentuk akademik sahaja, bahkan memupuk semangat perpaduan. Ianya berorientasikan suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983.
Mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam sifat-sifat mulia seperti tolong-menolong, bekerjasama dan berfikiran optimis serta membentuk tingkah laku yang bersopan santun dan saling menghormati antara satu sama lain.
Setiap subjek yang diajar di sekolah juga harus menitikberatkan aspek-aspek pendidikan yang harmonis. Nilai-nilai rohani dan budaya bersama  diberikan keutamaan dalam setiap subjek. Maka, semangat perpaduan perlu merentasi kurikulum untuk membentuk dan menguatkan peribadi serta moral para pelajar.

Kesimpulan
Perpaduan kaum adalah elemen yang penting dan harus diberi perhatian kerana pemupukan hubungan etnik antara masyarakat adalah amat penting bagi kesejahteraan  negara. Hubungan kaum yang harmoni adalah kunci kepada keharmonian dan kestabilan negara. Bagi mencapai matlamat tersebut, negara memerlukan rakyat yang berpendidikan, berilmu dan semangat patriotisme yang tinggi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing dalam memacu negara ke arah mencapai Wawasan 2020.

No comments:

Post a Comment