Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagi tujuan tersebut, 25 jenis bantuan persekolahan kepada murid telah disalurkan meliputi Bantuan Geran Perkapita (PCG), Bantuan Kokurikulum, Bantuan Sukan Sekolah, Bantuan Makanan dan Yuran Khas Sekolah serta lain-lain dengan peruntukan melebihi RM3.7 juta setiap tahun
Beliau berkata, Sarawak merupakan antara negeri yang sentiasa mendapat peruntukan pembangunan tinggi pada setiap tahun di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).
“Pada 2014, sebanyak 22 projek merangkumi pembinaan baharu, gantian penuh dan ubah suai naik taraf bangunan sekolah telah diluluskan oleh Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.
“Di bawah RMK-10 sehingga kini, sebanyak 650 projek pembangunan fizikal institusi pelajaran di Sarawak telah disiapkan, manakala 83 projek pula sedang dalam pembinaan.
“Bagi 2015, peruntukan pembangunan (DE) bagi tahun tersebut khususnya bagi Sarawak ialah berjumlah RM235.2 juta,” katanya berucap merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakun di Sungai Asap, Belaga di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Masir Kujat.
Tdak ketinggalan Menteri Kemajuan Tanah negeri yang mewakili Ketua Menteri, Tan Sri Dr. James Jemut Masing; Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Dr. Zulkifeli Mohd. Zin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Liwan Lagang
SMK Bakun yang mempunyai 87 kakitangan akademik dan 1,217 pelajar dari tingkatan satu hingga lima merupakan sekolah menengah asrama serta harian.
Sekolah menengah kedua yang dibina di daerah Belaga pada 2002 itu menerima para pelajar dari kampung-kampung berdekatan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Kementerian Pendidikan bukan sahaja prihatin dari segi peruntukan kewangan, malah sentiasa memberi perhatian khusus kepada pendidikan di sekolah luar bandar dan pedalaman melalui Pelan Transformasi Pendidikan Sekolah Pedalaman Sabah dan Sarawak yang dilancarkan pada 2013.
“Pelan terbabit merupakan satu strategi untuk merapatkan jurang pendidikan dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik, budaya dan sosio-ekonomi khusus bagi dua negeri ini.
“Bagi 2014, transisi pelajar Iban, Kayan dan Kenyah ke tingkatan satu mencatatkan kadar tinggi iaitu antara 91 hingga 100 peratus, manakala bagi kumpulan etnik seperti Kelabit, Melanau, Murut dan bumiputera lain di Sarawak adalah 81 hingga 89 peratus,” jelasnya.
Beliau berkata, perubahan transisi ini menunjukkan kerajaan sentiasa menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada semua pelajar tanpa mengira lokasi dan latar belakang selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Dalam pada itu, beliau bersetuju meluluskan enam daripada sembilan permohonan yang diminta oleh Liwan bagi SMK Bakun dan keperluan penduduk daerah Belaga.
Antara diluluskan ialah pembinaan 20 kuarters perumahan guru, trek padang, gelanggang serba guna, menyediakan kemudahan makmal sains dan sumbangan RM90,000 bagi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menjalankan aktiviti, manakala Panglima ATM menyumbangkan RM10,000 bagi persatuan ber­kenaan.