Guru Bahasa Malaysia Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Renggam, V, Kavitha berkata, seminar itu membolehkannya memahami dan mula menguasai cara menerapkan elemen KBAT dalam proses PdP.
“Sebelum ini, saya ragu dan kurang yakin dalam melaksanakan KBAT namun kini semakin jelas dan yakin untuk menerapkan elemen KBAT ketika mengajar di dalam bilik darjah.
“Saya bertuah dapat menyertai seminar ini kerana mengetahui banyak perkara baharu berkaitan pelaksanaan KBAT dalam proses pengajaran,” katanya ketika ditemui selepas tamat seminar itu di SJKT Sungai Renggam, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Kavitha antara 50 guru sekolah tersebut yang menyertai seminar kendalian Mantan Pensyarah Cemerlang JUSA B, Dr. Ismail Zain yang kini merupakan Penasihat Unit Pendidikan Utusan Malaysia.
Unit Pendidikan Utusan Malaysia, sejak tahun lalu, dilantik sebagai penasihat kandungan program dan aktiviti itu yang merupakan sebahagian daripada Program Pintar UMW.
Dalam seminar ini, guru diberi latihan secara hands on berbentuk bengkel tentang strategi PdP berasaskan KBAT, mengaplikasikan alat berfikir yang sesuai untuk menganalisis sesuatu isu dan permasalahan hingga peringkat mereka cipta penyelesaian.
Sementara itu, seorang lagi peserta, S. Thenmalar dengan bersemangat memberitahu, seminar ini menjelaskan bagaimana guru boleh mempelbagaikan elemen KBAT dalam PdP dan tidak hanya fokus terhadap sesuatu aspek sahaja.
“Bukan itu saja, guru juga boleh menggunakan pelbagai aplikasi sebagai alat bantu mengajar,” katanya sambil memuji cara penyampaian Dr. Ismail yang mudah difahami peserta.
Sumber: http://www.utusan.com.my/pendidikan/terap-elemen-kbat-dalam-pengajaran-1.148026
No comments:
Post a Comment