Dr. Teo Kok Seong
Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, inisiatif itu wajar dilakukan dengan kerajaan merombak semula sekolah pelbagai aliran sedia ada yang dilihat tidak mampu dan gagal dalam usaha memperkasakan nilai kemasyarakatan.
Menurutnya, kini Malaysia mempunyai tujuh laluan pendidikan (sekolah) iaitu sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama, sekolah swasta, sekolah persendirian Cina, sekolah antarabangsa dan belajar sendiri.

“Sekolah pelbagai aliran ini mewujudkan polarisasi kaum yang membawa pengasingan etnik sehingga menyebabkan perpecahan di usia rebung yang sepatutnya kita lentur.

“Gunakan gagasan 1Malaysia untuk wujudkan sekolah satu aliran ini supaya semangat dan nilai gagasan ini dapat digembleng kepada sesuatu yang memberi maksud dan kesan yang memberi kesatuan kepada masyarakat dari sekadar sebagai penjenamaan,” katanya dalam forum Bicara Persada Ke-23 bertajuk Sekolah Satu Aliran: Keperluan dan Kemungkinan di UKM di sini hari ini.

Turut menjadi ahli panel dalam forum berkenaan ialah bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah; Pensyarah Sains Politik UKM, Prof. Madya Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff dan Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial dan Pembangunan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Sarjit Singh Gill.

Mengulas lanjut, Kok Seong berkata, hampir enam tahun gagasan 1Malaysia telah dilaungkan namun gagasan itu hanya lebih menjuruskan kepada kebendaan.
“Selama ini banyak inisiatif 1Malaysia telah diwujudkan dari segi bantuannya, kedainya, kliniknya, tayar teksi dan banyak lagi, maka sudah tiba masanya gunakan gagasan 1Malaysia ini untuk sesuatu yang benar-benar menterjemahkan maksudnya,” ujarnya.
Menjelaskan berhubung sekolah satu aliran berteraskan gagasan 1Malaysia, Kok Seong berkata, daripada tujuh jenis sekolah yang ada, hanya tiga yang relevan dan perlu digabungkan menjadi satu sekolah aliran.

“Tiga jenis ini adalah sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil serta sekolah agama.
Melalui tiga sekolah ini kita boleh kekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama, bahasa Mandarin dan Tamil juga boleh diajar selain menghimpunkan subjek agama di sekolah ini,” katanya.