Monday 23 November 2015

BULI: GEJALA SAMSENG MEMBARAH




Gejala buli dalam kalangan remaja semakin merisaukan banyak pihak terutama ibu bapa dan guru. Pelbagai isu mengenai kebejatan sosial remaja termasuk gejala buli dibahaskan dalam media massa disebabkan kejadian buli yang membahayakan keselamatan pelajar sekolah khususnya sekolah berasrama.

Tidak cukup dengan wacana sahaja, masyarakat menantikan penyelesaian berkesan untuk gejala buli yang tiada petanda reda dalam kalangan remaja bermasalah di sekolah. Hari ini sekolah seolah-olah menjadi pusat menghasilkan virus schoolafobia kerana pelajar baru takut tinggal di asrama.
Institusi sekolah terutama sekolah berasrama sering menjadi medan sebilangan pelajar menunjukkan dominasi dan senioriti sehingga sanggup mencederakan pelajar lebih bawah daripada mereka. Aksi tendang terajang serta ala ahli gusti dipertontonkan untuk menunjukkan kekuatan dan pelajar baru menjadi mangsa.
Perbuatan salah laku itu menyebabkan kecederaan, koma, patah tulang sehingga ada yang meninggal dunia disebabkan perlakuan buli di asrama dan sekolah.

 Ironinya, kejadian buli juga turut dilaporkan membabitkan sekolah yang telah diberi gred berprestasi tinggi.
Lebih menyedihkan lagi, laporan kejadian buli turut berlaku dalam kalangan pelajar Melayu-Islam di sekolah aliran agama yang sepatutnya menjadi teladan kepada pelajar lain.

Kejayaan sistem pendidikan kita dinilai bukan sahaja oleh pencapaian akademik pelajar kita. Kejayaan sistem perlu juga dinilai berdasarkan mutu seseorang dari segi integriti dan disiplin mereka, perlakuan, kecerdasan, sikap mereka terhadap kerja, kemampuan mereka dalam kepimpinan dan rasa tanggungjawab serta komitmen mereka terhadap masyarakat.

Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kes-buli-semakin-serius-harus-dipandang-serius-semua-pihak-lee-lam-thye-51584
http://www.sinarharian.com.my/nasional/buli-pelajar-tindakan-tegas-jika-cikgu-cuai-1.452714
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kementerian-pendidikan-mahu-kes-buli-mencapai-sifar-peratus-1.161445
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sekolah-diarah-tingkat-penguatkuasaan-kes-buli-1.159625

No comments:

Post a Comment