Monday 26 October 2015

KEMENTERIAN TINGKAT PRESTASI PENDIDIKAN TINGGI



Menurut Menteri Pendidikan Ting­gi, Datuk Seri Idris Jusoh, rakyat Malaysia berhak mendapat pendidikan tinggi yang terbaik dan berkualiti sama seperti yang terdapat di negara maju. Melalui peruntukan bajet kerajaan yang besar kepada sektor pendidikan tinggi, sudah semestinya semua pihak ingin melihat pencapaian cemerlang yang sesuai dengan pelaburan itu.

Ini dibuktikan melalui keputusan terkini kedudukan atau ‘ranking’ institusi pendidikan tinggi (IPT) negara oleh badan penarafan antarabangsa.


Daripada kajian yang dikeluarkan oleh QS ASIA Top University Ranking, terdapat 4 buah universiti yang bertambah baik berbanding tahun 2014 iaitu Universiti Malaya meningkat ke tempat ke 29 daripada 32 tahun lepas, Universiti Sains Malaysia kepada 49 daripada 57.Universiti Teknologi Malaysia berada di kedudukan ke 61 dari kedudukan asal 66, Universiti Putra Malaysia (76-66), manakala Universiti Kebangsaan Malaysia kekal pada kedudukan ke 56.

Peningkatan pencapaian yang membanggakan itu menggambarkan pihak pengurusan IPT sentiasa berusaha bagi memastikan prestasi dan kualiti institusi mereka dapat bersaing dengan universiti terbaik yang lain. Nampaknya langkah kementerian menaik taraf beberapa universiti sebagai berstatus ‘universiti penyelidikan’ dan memberi kuasa autonomi yang lebih luas menjadi salah satu faktor atas kejayaan tersebut.


Saturday 24 October 2015

PERPADUAN MELALUI PENDIDIKAN

Sistem pendidikan yang dilaksanakan sehingga kini adalah sebagai salah satu usaha kerajaan untuk  merealisasikan aspirasi negara bagi mewujudkan dan meningkatkan perpaduan kaum dan integrasi nasional dalam kalangan masyarakat di negara ini. Pendidikan adalah tunjang kepada perpaduan negara, maka tidak dapat dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan negara.
Satu cara pendekatan penting untuk mewujudkan perpaduan dalam sesebuah negara ialah menerusi pendidikan. Dalam konteks Malaysia,  pendidikan adalah tonggak utama dalam membina perpaduan kaum dalam kalangan generasi muda. Berikut adalah cara bagaimana sistem pendidikan negara ini boleh membentuk perpaduan.
Kurikulum ialah satu rancangan pendidikan yang terkandung di dalamnya segala ilmu pengetahuan serta kemahiran, nilai-nilai dan norma, unsur-unsur kebudayaan dan kepercayaan yang telah menjadi pilihan masyarakat untuk diperturunkan kepada ahli-ahlinya. Peranan kurikulum dalam pendidikan adalah untuk membina perkembangan pelajar yang lengkap dari segi jasmani, rohani, akal dan emosi. Dalam konteks negara Malaysia, kurikulum juga berperanan untuk melahirkan rakyat yang mendokong cita-cita negara dalam mewujudkan perpaduan yang berpandukan prinsip-prinsip Rukun Negara, di samping menghasilkan modal insan yang terlatih untuk keperluan negara.
Kurikulum yang dibina bukan sahaja bertujuan untuk memberikan ilmu pengetahuan dan maklumat berbentuk akademik sahaja, bahkan memupuk semangat perpaduan. Ianya berorientasikan suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983.
Mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam sifat-sifat mulia seperti tolong-menolong, bekerjasama dan berfikiran optimis serta membentuk tingkah laku yang bersopan santun dan saling menghormati antara satu sama lain.
Setiap subjek yang diajar di sekolah juga harus menitikberatkan aspek-aspek pendidikan yang harmonis. Nilai-nilai rohani dan budaya bersama  diberikan keutamaan dalam setiap subjek. Maka, semangat perpaduan perlu merentasi kurikulum untuk membentuk dan menguatkan peribadi serta moral para pelajar.

Kesimpulan
Perpaduan kaum adalah elemen yang penting dan harus diberi perhatian kerana pemupukan hubungan etnik antara masyarakat adalah amat penting bagi kesejahteraan  negara. Hubungan kaum yang harmoni adalah kunci kepada keharmonian dan kestabilan negara. Bagi mencapai matlamat tersebut, negara memerlukan rakyat yang berpendidikan, berilmu dan semangat patriotisme yang tinggi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing dalam memacu negara ke arah mencapai Wawasan 2020.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN KELUAR PEKELILING HARAM VAPE DI SEKOLAH


Kementerian Pendidikan akan mengeluarkan pekeliling berhubung pengharaman vape di semua kawasan sekolah dan institusi pengajian di bawah kementerian dalam masa terdekat. 

PUTRAJAYA - Gambar seorang guru sekolah sedang menghisap rokok elektroinik atau vape di kelas tersebar di laman sosial sejak malam tadi.

"Macam mana dia boleh jadi pendidik ye? Memang orang yang dah #vapeOn ini terus #OtakOff ke macam mana?" kata Shazroul yang memuat naik gambar berkenaan di laman Facebook 15 jam yang lalu.

Seorang guru lelaki berkaca mata hitam dilihat sedang menghisap vape tatkala anak muridnya sedang menerangkan masalah kerja sekolah yang dihadapi.

Tindakan guru berkenaan yang menghisap vape di dalam kelas dikecam oleh netizen yang menganggap itu satu tindakan bodoh dari seorang guru. 

"Nak bervaping atau apa sekali pun, jangan ingat boleh hembus asap vape di mana-mana terutamanya di depan kanak-kanak. Sudahlah memakai cermin mata hitam, hisap vape lagi depan murid. Apa lagi yang tinggal untuk dijadikan sebagai contoh pada murid?" kata netizen. 

"Memalukan golongan pendidik! Sebagai seorang warga pendidik, jangan berikan contoh yang tidak baik kepada pelajar kerana mereka sangat mudah terpengaruh. Tetapi kalau dah begini perangai sesetengah guru, selepas ini jangan salahkan ibu bapa pelajar pula," kata Yahya.

Walaupun begitu, ada yang berpendapat bahawa gambar yang tersebar itu adalah gambar yang telah diedit bagi mencemarkan imej golongan penggemar rokok elektronik.



Sumber:http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kementerian-pendidikan-keluar-pekeliling-haram-vape-di-sekolah-1.172527


Thursday 22 October 2015

PENTAKSIRAN TINGKATAN 3 (PT3)



PT3 adalah satu daripada komponen di bawah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di mana murid ditaksir untuk menilai pencapaian akademik mereka di pe­ringkat menengah rendah iaitu di Tingkatan 3.
Soalan PT3 disediakan berasaskan sukatan pelajaran Tingkatan 1, 2 dan 3.
Tujuan pentaksiran adalah lebih meluas lagi, kita harus mewujudkan pentaksiran yang dapat merubah teknik pengajaran dan pembelajaran di sekolah bagi melahirkan modal insan yang berketerampilan dan lebih yakin dengan potensi diri.
Perubahan ini perlu bagi menjayakan program transformasi pendidikan dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Melalui PT3, pihak sekolah akan menyediakan jadual pentadbiran, menguruskan pentadbiran pentaksiran, memeriksa skrip jawapan murid berpandukan panduan penskoran yang disediakan Lembaga Peperiksaan dan mencetak pelaporan PT3.

Apakah perbezaan antara PT3 dan PMR?
PT3 yang dilaksanakan adalah satu komponen pentaksiran berasaskan sekolah, manakala PMR adalah peperiksaan berpusat yang dijalankan serentak di semua sekolah di seluruh negara.
PMR dikendalikan sepenuhnya oleh Lembaga Peperiksaan dari segi penyediaan kertas soalan, pentadbiran peperiksaan, pemeriksaan skrip jawapan dan pengeluaran keputusan.
Bagi PT3 Lembaga Peperiksaan menyediakan instrumen pentaksiran (soalan), pan­duan penskoran dan menetapkan tempoh pelaksanaan tetapi pentadbiran, pemeriksaan skrip jawapan dan pengeluaran keputusan dilakukan oleh pentadbiran sekolah.

Sumber: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20140629/pe_01/PT3-bukan-sekadar-peperiksaan

Wednesday 21 October 2015

KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH (KSSR)






KSSR diperkenalkan sebagai satu usaha menyusun semula dan menambah baik kurikulum sedia ada untuk memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan untuk memenuhi keperluan semasa serta menghadapi cabaran abad ke-21.



KSSR digubal dalam bentuk pernyataan standard. Pernyataan standard terdiri daripada standard kandungan dan standard pembelajaran yang  perlu dicapai oleh murid dalam suatu tempoh dan tahap persekolahan. Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran didefinisikan seperti berikut: 

- Standard kandungan ialah penyataan spesifik tentang perkara yang murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai.

- Standard Pembelajaran ialah satu penetapan kriteria atau petunjuk (indicator) kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan.


Konsep KSSR mengandungi tunjang keterampilan diri yang memastikan murid dididik dan dibimbing supaya memiliki daya kepimpinan dan sahsiah diri yang tinggi melalui kurikulum dan aktiviti kokurikulum.

Berikut merupakan perbezaan sistem kurikulum KBSR dan KSSR:




Monday 19 October 2015

APA ITU PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH?





PBS dilaksanakan mulai Tahun 1 pada 2011 dan penambahbaikan UPSR pada 2016, mulai Tingkatan 1 pada 2012 dan penambahbaikan PMR pada 2014.

PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai dari aspek: 
i) kognitif (intelek)
ii) afektif (emosi dan rohani) 
ii) psikomotor (jasmani) 

PBS juga diwujudkan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

PBS mentaksir bidang akademik dan bukan akademik.




PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah secara terancang mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan.

PBS dikendalikan oleh pihak sekolah dan pentaksirannya dilaksanakan oleh guru-guru mata pelajaran secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.


Sumber: http://www.moe.gov.my/v/soalan-lazim-view?id=146&cat=30&keyword=&page=1&

Sunday 18 October 2015

APA ITU PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA (PPPM)?


Video Multimedia Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi)


Source: Kementerian Pendidikan Malaysia

Agihan adil semua sekolah: Peruntukan bagi perbelanjaan pengurusan, pembangunan dan penyelenggaraan


KAPIT, 16 Okt. - Kerajaan sentiasa berusaha untuk berlaku adil dalam menyalurkan peruntukan bagi perbelanjaan pengurusan, pembangunan serta penyelenggaraan kepada semua jenis sekolah termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagi tujuan tersebut, 25 jenis bantuan persekolahan kepada murid telah disalurkan meliputi Bantuan Geran Perkapita (PCG), Bantuan Kokurikulum, Bantuan Sukan Sekolah, Bantuan Makanan dan Yuran Khas Sekolah serta lain-lain dengan peruntukan melebihi RM3.7 juta setiap tahun
Beliau berkata, Sarawak merupakan antara negeri yang sentiasa mendapat peruntukan pembangunan tinggi pada setiap tahun di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).
“Pada 2014, sebanyak 22 projek merangkumi pembinaan baharu, gantian penuh dan ubah suai naik taraf bangunan sekolah telah diluluskan oleh Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.
“Di bawah RMK-10 sehingga kini, sebanyak 650 projek pembangunan fizikal institusi pelajaran di Sarawak telah disiapkan, manakala 83 projek pula sedang dalam pembinaan.
“Bagi 2015, peruntukan pembangunan (DE) bagi tahun tersebut khususnya bagi Sarawak ialah berjumlah RM235.2 juta,” katanya berucap merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakun di Sungai Asap, Belaga di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Masir Kujat.
Tdak ketinggalan Menteri Kemajuan Tanah negeri yang mewakili Ketua Menteri, Tan Sri Dr. James Jemut Masing; Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Dr. Zulkifeli Mohd. Zin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Liwan Lagang
SMK Bakun yang mempunyai 87 kakitangan akademik dan 1,217 pelajar dari tingkatan satu hingga lima merupakan sekolah menengah asrama serta harian.
Sekolah menengah kedua yang dibina di daerah Belaga pada 2002 itu menerima para pelajar dari kampung-kampung berdekatan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Kementerian Pendidikan bukan sahaja prihatin dari segi peruntukan kewangan, malah sentiasa memberi perhatian khusus kepada pendidikan di sekolah luar bandar dan pedalaman melalui Pelan Transformasi Pendidikan Sekolah Pedalaman Sabah dan Sarawak yang dilancarkan pada 2013.
“Pelan terbabit merupakan satu strategi untuk merapatkan jurang pendidikan dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik, budaya dan sosio-ekonomi khusus bagi dua negeri ini.
“Bagi 2014, transisi pelajar Iban, Kayan dan Kenyah ke tingkatan satu mencatatkan kadar tinggi iaitu antara 91 hingga 100 peratus, manakala bagi kumpulan etnik seperti Kelabit, Melanau, Murut dan bumiputera lain di Sarawak adalah 81 hingga 89 peratus,” jelasnya.
Beliau berkata, perubahan transisi ini menunjukkan kerajaan sentiasa menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada semua pelajar tanpa mengira lokasi dan latar belakang selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Dalam pada itu, beliau bersetuju meluluskan enam daripada sembilan permohonan yang diminta oleh Liwan bagi SMK Bakun dan keperluan penduduk daerah Belaga.
Antara diluluskan ialah pembinaan 20 kuarters perumahan guru, trek padang, gelanggang serba guna, menyediakan kemudahan makmal sains dan sumbangan RM90,000 bagi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menjalankan aktiviti, manakala Panglima ATM menyumbangkan RM10,000 bagi persatuan ber­kenaan.

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/agihan-adil-semua-sekolah-1.147432

Perpaduan: Perlu lihat semula sistem pendidikan - Zahid Hamidi


TEMU bual bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. 



Sumber : http://www.bharian.com.my/node/71567

Lantik guru berkelayakan, lulus ujian

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Kementerian Pendidikan diminta mempertingkatkan aspek pelaksanaan program Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah dan Rakan Peningkatan Sekolah khususnya dari segi lantikan guru.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, pihaknya bimbang pelaksanaan dua program berkenaan menjadi kurang berkesan sekiranya guru-guru yang dilantik tidak mempunyai kepakaran dan kemahiran yang diperlukan.
Menurut beliau, lantikan sewajarnya dibuat dengan mengambil kira kelayakan calon berdasarkan dua aspek tersebut tanpa dipengaruhi oleh sentimen 'pilih kasih'.
"NUTP menerima maklumat ada guru yang tidak lulus ujian Aptis tetapi dilantik menjadi pembimbing pakar bagi mata pelajaran bahasa Inggeris.
"Sepatutnya kalau guru yang dipilih tidak lulus ujian tersebut, jangan ambil beliau sebagai pembimbing pakar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Hashim mengulas tentang peruntukan sebanyak RM250 juta yang disediakan oleh kerajaan untuk menjayakan dua program berkenaan dalam Bajet 2015 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat, kelmarin.
Ujian Aptis dikendalikan oleh British Council bagi membantu organisasi dan institusi mengenal pasti kakitangan atau pelajar yang memiliki tahap penguasaan bahasa Inggeris yang diperlukan.
Beliau menambah, situasi serupa didakwa berlaku dalam pelaksanaan program Rakan Peningkatan Sekolah yang mana guru yang dilantik tidak mempunyai pengalaman mentadbir sekolah.
"Sebaik-baiknya, lantikan dibuat dalam kalangan guru besar atau pengetua yang mempunyai pengalaman dari segi pentadbiran sekolah antara lima hingga 10 tahun," katanya.

Sektor ICT memainkan peranan yang penting dalam pendidikan

Sektor Informasi Komunikasi Dan Teknologi, ICT memainkan peranan yang penting dalam sektor pendidikan Malaysia. Menurut Pengerusi Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia, Pikom, Cheah Kok Hoong, berdasarkan trend di Amerika, 45 peratus pekerjaan memberi tumpuan kepada pembangunan perisian dan pemprograman komputer.


Video: http://www.astroawani.com/video-bisnes/sektor-ict-memainkan-peranan-yang-penting-dalam-pendidikan-69337

Terap elemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam pengajaran


Dr. Ismail Zain memberi penerangan terperinci berkaitan aplikasi kemahiran berfikir aras tnggi dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam seminar anjuran UMW di SJKT Sungai Renggam, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Guru Bahasa Malaysia Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Renggam, V, Kavitha berkata, seminar itu membolehkannya memahami dan mula menguasai cara menerapkan elemen KBAT dalam proses PdP.
“Sebelum ini, saya ragu dan kurang yakin dalam melaksanakan KBAT namun kini semakin jelas dan yakin untuk menerapkan elemen KBAT ketika mengajar di dalam bilik darjah.
“Saya bertuah dapat menyertai seminar ini kerana mengetahui banyak perkara baharu berkaitan pelaksanaan KBAT dalam proses pe­ngajaran,” katanya ke­­tika ditemui selepas ta­mat seminar itu di SJKT Sungai Renggam, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Kavitha antara 50 guru sekolah tersebut yang menyertai seminar kendalian Mantan Pensyarah Cemerlang JUSA B, Dr. Ismail Zain yang kini merupakan Penasihat Unit Pendidikan Utusan Malaysia.
Unit Pendidikan Utusan Malaysia, sejak tahun lalu, dilantik sebagai penasihat kandungan program dan aktiviti itu yang merupakan sebahagian daripada Program Pintar UMW.
Dalam seminar ini, guru diberi latihan secara hands on berbentuk bengkel tentang strategi PdP berasaskan KBAT, mengaplikasikan alat berfikir yang sesuai untuk meng­analisis sesuatu isu dan permasalahan hingga peringkat mereka cipta penyelesaian.
Sementara itu, seorang lagi peserta, S. Thenmalar dengan bersemangat memberitahu, seminar ini menjelaskan bagaimana guru boleh mempelbagaikan elemen KBAT dalam PdP dan tidak hanya fokus terhadap sesuatu aspek sahaja.
“Bukan itu saja, guru juga boleh menggunakan pelbagai aplikasi sebagai alat bantu mengajar,” katanya sambil memuji cara penyampaian Dr. Ismail yang mudah difahami peserta.

Sumber: http://www.utusan.com.my/pendidikan/terap-elemen-kbat-dalam-pengajaran-1.148026

SEMINAR Aplikasi Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) anjuran UMW Corporation Sdn Bhd (UMW) boleh membantu golongan pendidik meningkatkan tahap profesion mereka.


Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kati, Zubaidah Harun berkata, seminar seperti ini perlu diadakan lebih kerap supaya guru sentiasa dikemas kini dengan perkembangan cara pendidikan terkini dan seterusnya dapat meningkatkan tahap profesion perguruan ke arah pengajaran abad ke-21.

“Seminar ini membantu guru fokus bagaimana untuk menerapkan elemen KBAT dalam PdP menggunakan kreativiti mereka sendiri,” katanya ketika ditemui selepas tamat seminar itu di sekolahnya di Kuala Kangsar, Perak, baru-baru ini.
Dalam seminar itu, 50 guru sekolah berkenaan diberi latihan secara hands on berbentuk bengkel yang dikendalikan yang dikendalikan leh Penasihat Unit Pendidikan Utusan Malaysia, Dr Ismail Zain.

Unit Pendidikan Utusan Malaysia sejak tahun lalu dilantik oleh Kumpulan UMW sebagai penasihat kandungan program dan aktiviti tersebut.
Melalui seminar ini, guru dapat mengaplikasikan alat berfikir yang sesuai untuk menganalisis sesuatu isu dan permasalahan hingga peringkat mereka cipta penyelesaian.

Sumber: http://www.utusan.com.my/pendidikan/tingkat-tahap-profesion-perguruan-1.148030

Siap sedia hadapi perubahan landskap pendidikan tinggi - Idris Jusoh


PUTRAJAYA: Semua pihak termasuk ahli akademik, pensyarah dan pelajar perlu mempersiapkan diri dalam           menghadapi perubahan landskap pendidikan tinggi masa depan berikutan perkembangan teknologi dan globalisasi, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.


"Keadaan yang sentiasa berubah, teknologi dan kehendak dalam landskap pendidikan tinggi juga sentiasa berubah. Pelajar akan menjadi masyarakat global  dan mereka memerlukan teknologi lebih baik dalam proses pembelajaran," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Sebelum itu, beliau menghadiri forum bersiri 'Universiti Masa Depan' di kementeriannya di sini, yang akan memberikan cadangan dan pandangan kepada pihak kementerian bagi pelaksanaan pendidikan tinggi masa depan yang lebih baik.


Forum itu dihadiri anggota panel terkemuka seperti Pro Canselor Universiti Sains Malaysia, Tan Sri Prof Dr Lin See Yan; Rektor Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah, Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi; dan Pengarah Tien Wah Press Holdings Bhd, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Arif.


Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Asma Ismail merupakan moderator bagi forum hari ini.


Idris berkata Malaysia perlu mengenal pasti cabaran dalam memastikan universiti dalam negara adalah lebih baik daripada universiti lain."Kalau kita mahu memberi tumpuan dalam bidang robotik, Jepun telah mendahului negara kita. Mungkin apa yang kita boleh lakukan ialah melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang iklim tropika," katanya.


Saturday 10 October 2015

Wujud sekolah satu aliran berpandukan gagasan 1Malaysia


KUALA LUMPUR 9 Okt. – Sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan sekolah satu aliran berpandukan gagasan 1Malaysia bagi membawa nilai sebenar gagasan berkenaan daripada sekadar digunakan sebagai penjenamaan.


Dr. Teo Kok Seong
Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, inisiatif itu wajar dilakukan dengan kerajaan merombak semula sekolah pelbagai aliran sedia ada yang dilihat tidak mampu dan gagal dalam usaha memperkasakan nilai kemasyarakatan.
Menurutnya, kini Malaysia mempunyai tujuh laluan pendidikan (sekolah) iaitu sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama, sekolah swasta, sekolah persendirian Cina, sekolah antarabangsa dan belajar sendiri.

“Sekolah pelbagai aliran ini mewujudkan polarisasi kaum yang membawa pengasingan etnik sehingga menyebabkan perpecahan di usia rebung yang sepatutnya kita lentur.

“Gunakan gagasan 1Malaysia untuk wujudkan sekolah satu aliran ini supaya semangat dan nilai gagasan ini dapat digembleng kepada sesuatu yang memberi maksud dan kesan yang memberi kesatuan kepada masyarakat dari sekadar sebagai penjenamaan,” katanya dalam forum Bicara Persada Ke-23 bertajuk Sekolah Satu Aliran: Keperluan dan Kemungkinan di UKM di sini hari ini.

Turut menjadi ahli panel dalam forum berkenaan ialah bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah; Pensyarah Sains Politik UKM, Prof. Madya Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff dan Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial dan Pembangunan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Sarjit Singh Gill.

Mengulas lanjut, Kok Seong berkata, hampir enam tahun gagasan 1Malaysia telah dilaungkan namun gagasan itu hanya lebih menjuruskan kepada kebendaan.
“Selama ini banyak inisiatif 1Malaysia telah diwujudkan dari segi bantuannya, kedainya, kliniknya, tayar teksi dan banyak lagi, maka sudah tiba masanya gunakan gagasan 1Malaysia ini untuk sesuatu yang benar-benar menterjemahkan maksudnya,” ujarnya.
Menjelaskan berhubung sekolah satu aliran berteraskan gagasan 1Malaysia, Kok Seong berkata, daripada tujuh jenis sekolah yang ada, hanya tiga yang relevan dan perlu digabungkan menjadi satu sekolah aliran.

“Tiga jenis ini adalah sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil serta sekolah agama.
Melalui tiga sekolah ini kita boleh kekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama, bahasa Mandarin dan Tamil juga boleh diajar selain menghimpunkan subjek agama di sekolah ini,” katanya.


Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/wujud-sekolah-satu-aliran-berpandukan-gagasan-1malaysia-1.144852

Menjana kemahiran berfikir aras tinggi




Wawasan Unit Pendidikan Utusan Malaysia untuk menerajui bidang pembelajaran dengan menganjurkan Seminar Motivasi dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT atau Higher Order Thingkin Skills, HOTS) ternyata memberi impak positif kepada murid sekolah rendah dan menengah yang menyertainya.
Fasilitator utama seminar itu, Dr. Ismail Zain berkata, pengisiannya lebih mantap kerana kemahiran berfikir aras tinggi diterapkan melalui aktiviti berkonsepkan motivasi diri.
"Seminar ini merupakan satu kajian rintis bagi modul yang direkacipta untuk murid-murid sekolah bagi memenuhi aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia dalam usaha membudayakan penjanaan pemikiran murid ke aras tinggi.
"Kemahiran belajar Abad ke-21 diterapkan melalui aktiviti-aktiviti yang memerlukan murid berfikir, merancang, berbincang, menilai, mereka cipta dan membuat keputusan berlatarkan Taksonomi Bloom yang dimurnikan serta aliran pemikiran Edward De Bono berkonsepkan Power of Perception," jelasnya selepas tamat seminar itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Seminar eksklusif selama tiga hari itu turut membimbing murid untuk memahami soalan berbentuk HOTS bagi subjek Sains, Matematik dan Sejarah.
Menurut Pensyarah Cemerlang Gred Khas B daripada Institut Pendidikan Guru, Kampus Ipoh ini, kaji selidik Skala Likert yang diberikan kepada peserta seminar mengikut enam kategori telah menerima maklum balas yang amat menggalakkan.
Kaji selidik menunjukkan lebih 80 peratus memberi respons Amat Bersetuju bagi semua kategori.
Secara spesifik, statistik kaji selidik adalah 85 peratus mengatakan seminar ini berjaya disampaikan dengan jelas, murid memahami konsep Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (81.87 peratus), aktiviti yang dilaksanakan adalah menarik (90.16 peratus), membantu proses pembelajaran murid (93.44 peratus) dan memenuhi kehendak sistem pembelajaran masa kini (81.97 peratus).
Malah, majoriti murid (95.08 peratus) amat bersetuju agar semua murid sekolah perlu mengikuti seminar ini.
Dalam seminar itu peserta mengikuti aktiviti yang padat antaranya termasuklah bengkel, simulasi, tayangan video dan persembahan.
Semua aktiviti itu berjaya memberi impak positif kepada peserta dari awal pagi hingga petang tanpa membosankan mereka.
Berdasarkan kejayaannya yang dibuktikan melalui statistik kajian rintis yang dilaksanakan, seminar seumpama ini akan dilaksanakan lagi dari semasa ke semasa.
Pihak penganjur yang ingin menganjur seminar ini di tempat masing-masing boleh mendapatkan maklumat melalui talian 019- 5713745 atau rujuk di www.tutor. com.my.




Sumber: http://www2.bharian.com.my/articles/Rangsangkemahiranberfikirarastinggi/Article/